fb fb fb fb fb

Ukraine nafi dakwaan Rusia, tidak mahu pertukaran tahanan

Foto Reuters

MOSCOW, 3 November- Kiev telah meminta Moscow pada Ahad untuk menyediakan senarai tahanan perang Ukraine yang bersedia untuk ditukar, setelah Rusia menuduh Ukraine mensabotaj proses tersebut.

Menurut Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Ukraine, Dmytro Lubinets dalam Telegramnya, pihaknya sentiasa bersedia untuk menukar tahanan perang.

Kiev dan Moscow sering bertukar tahanan sejak pencerobohan berskala penuh Rusia ke atas negara jirannya, yang lebih kecil itu pada 2022.

Pertukaran terakhir berlaku pada pertengahan Oktober dengan setiap pihak membawa pulang 95 tahanan.

Pada Sabtu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova menyatakan bahawa Ukraine pada dasarnya mensabotaj proses tersebut dan telah menolak untuk menerima kembali warganya sendiri.

Zakharova berkata kementerian pertahanan Rusia telah menawarkan untuk menyerahkan 935 tahanan perang Ukraine tetapi Ukraine hanya menerima 279.

Bagaimanapun Lubinets menafikan dakwaan itu dengan menyatakan bahawa Ukraine sentiasa bersedia untuk menerima warganya dan menuduh Rusia memperlambatkan proses pertukaran.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Rusia, Tatyana Moskalkova berkata pada Sabtu bahawa Ukraine telah mempolitikkan isu tersebut.

"Kami menganggap perlu untuk kembali kepada dialog yang konstruktif dan mempercepatkan pertukaran tahanan," tulis Moskalkova di Telegram.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM