(Stesen janakuasa nuklear Zaporizhzhia/Foto fail AFP)
KIEV, 8 September- Ukraine menggesa satu misi antarabangsa ditempatkan di loji nuklear Zaporizhzhia.
Selain turut menggesa penduduk di kawasan itu supaya berpindah berikutan kebimbangan mengenai bencana nuklear.
Perdana Menteri, Denys Shmygal mencadangkan misi tersebut diwujudkan dengan disertai Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mana-mana organisasi lain.
"Ini akan memudahkan pengunduran tentera Rusia dari loji itu dan sejauh 30km dari kawasan sekitar," katanya semasa mesyuarat kerajaan, pada Rabu.
(Denys Shmygal/Foto AFP)
Cadangan dibuat sehari selepas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengeluarkan laporan mengenai lawatan ke loji itu yang disifatkan Shmygal "tidak membawa hasil ketara".
Dalam laporan itu, IAEA menggesa "penubuhan segera zon keselamatan dan perlindungan keselamatan nuklear" di sekitar loji yang menghadapi situasi "tidak boleh dipertahankan".
Loji janakuasa Zaporizhzhia yang dikuasai tentera Rusia pada Mac lalu telah banyak kali dibom, dalam beberapa minggu lepas.
Kiev dan Moscow yang saling menuding jari terhadap serangan yang dilancarkan, meningkatkan lagi kebimbangan tentang bencana nuklear.-AFP