(Bot pengawal sempadan berlabuh di Pelabuhan Odesa di Laut Hitam , Ukraine pada 26 November 2018/REUTERS)
KIEV, 8 Jun - Ukraine tidak akan memusnahkan periuk api yang ditanam di perairan sekitar pelabuhan Odessa di Laut Hitam untuk membolehkan bijirin dieksport, memetik ancaman serangan Rusia ke atas bandar itu.
"Apabila kami membuka akses ke pelabuhan Odessa, armada Rusia akan berada di sana," kata jurucakap Pentadbiran Tentera Wilayah Odesa Sergiy Bratchuk.
Dalam klip video yang dimuat naik ke media sosial beliau berkata tentera Moscow ingin menyerang Odessa dan merancang untuk menurunkan pasukan payung terjun ke bandar itu.
Menteri Luar Turkiye dan Rusia sedang bermesyuarat di Ankara pada hari Rabu untuk membincangkan inisitaif mewujudkan koridor keselamatan untuk menghantar bijirin Ukraine yang terkandas di pelabuhan.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata Moscow bersedia untuk memudahkan laluan selamat bijirin Ukraine.
(Sergei Lavrov berkata Moscow bersedia untuk memudahkan laluan selamat bijirin Ukraine/Google)
Turkiye pula menawarkan perkhidmatannya untuk mengiringi konvoi maritim dari pelabuhan Ukraine.
Terdahulu, Bratchuk menegaskan bahawa sebarang eksport dari Odessa mesti diiringi pasukan NATO.
Ukraine sebelum perang adalah pengeksport gandum keempat terbesar di dunia dan membekalkan separuh daripada minyak dan biji bunga matahari.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebelum ini memberi amaran bahawa jumlah bijirin yang terkandas boleh meningkat tiga kali ganda dalam masa beberapa bulan. -AFP