fb fb fb fb fb

UK sahkan kes baharu wabak selesema burung

United Kingdom (UK) memberi amaran kepada penternak unggas agar kekal berwaspada selepas kes selesema burung dikesan di sebuah ladang ternakan komersial di utara England / Foto Reuters

LONDON, 6 November – United Kingdom (UK) memberi amaran kepada penternak unggas agar kekal berwaspada selepas kes selesema burung dikesan di sebuah ladang ternakan komersial di utara England, iaitu kejadian kedua tahun ini dan yang pertama bagi musim ini.

Jabatan Alam Sekitar, Makanan & Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) mengesahkan pada Selasa bahawa terdapat jangkitan selesema burung H5N5, sejenis virus influenza avian patogenik tinggi (HPAI) yang dikenali sebagai selesema burung.

Virus itu dikesan di sebuah ladang di Yorkshire, yang menyebabkan UK tidak lagi bebas daripada selesema burung mengikut peraturan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia (WOAH).

Semua unggas di lokasi itu akan dimusnahkan, dan zon perlindungan sejauh tiga kilometer (1.8 batu) telah diwujudkan di sekitar ladang tersebut, berhampiran bandar pesisir Hornsea.

Ketika kejadian terakhir pada Februari 2024 melibatkan virus H5N1, jangkitan H5N5 kali ini berlaku berikutan penemuan serupa di Eropah, menurut DEFRA.

Tiada kes selesema burung yang dikesan di Wales atau Scotland dalam kejadian kali ini.

Risiko jangkitan untuk unggas di ladang kekal rendah jika langkah biosekuriti dipatuhi dengan ketat, namun risiko bagi burung liar telah dinaikkan dari sederhana kepada tinggi.

Antara 2021 dan 2023, UK mengalami wabak selesema burung terbesar dalam sejarah akibat virus H5N1 yang mengorbankan 3.8 juta burung dan menular dalam populasi burung liar.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN