TAIPEI, 6 November - Taiwan telah menerima kumpulan pertama Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) dari Amerika Syarikat (AS), sebagai sebahagian usaha memperkukuh pertahanannya terhadap potensi ancaman dari China, menurut Kementerian Pertahanan Taipei pada Rabu.
Taipei membeli 29 unit HIMARS dari AS, dan 11 unit pertama telah tiba di pulau itu, menurut Timbalan Menteri Pertahanan Taiwan, Po Horng-huei.
HIMARS, sebuah unit pelancar roket yang dipasang pada trak, mampu melancarkan pelbagai roket panduan tepat secara serentak dan telah digunakan oleh Ukraine dalam konflik dengan Rusia.
Penghantaran HIMARS itu merupakan sebahagian daripada kerjasama ketenteraan jangka panjang antara Taiwan dan AS, yang menjadikan Washington sebagai sekutu utama serta pembekal senjata terbesar kepada Taipei.
Sejak lima dekad lalu, AS telah menjual senjata bernilai berbilion dolar kepada Taiwan, termasuk jet pejuang F-16 dan kapal perang.
China, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, telah meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap pulau itu dalam usaha memaksa Taipei menerima tuntutan kedaulatannya.
Beijing tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menawan Taiwan.
Taiwan, yang jauh lebih lemah dari segi jumlah tentera dan kekuatan tembakan berbanding China, terus memperkukuh kemampuan pertahanannya dengan meningkatkan belanjawan pertahanan.
Tahun ini, Taipei memperuntukkan dana sebanyak AS$19 bilion dan menjangka bajet tahun depan akan mencatatkan angka yang lebih tinggi.
Menteri Pertahanan Taiwan, Wellington Koo, menegaskan bahawa negara itu bertekad untuk terus memperkukuh kemampuan pertahanan dan berharap hal ini difahami oleh sesiapa sahaja yang memenangi Pilihan Raya Presiden AS.-AFP