fb fb fb fb fb

UK hapus pengecualian cukai untuk sekolah swasta

FOTO REUTERS

LONDON, 29 Disember - Kerajaan Parti Buruh UK mengumumkan bahawa pengecualian cukai bagi sekolah swasta akan ditamatkan pada Rabu.

Langkah itu dijangka menjana lebih £1.5 bilion (RM8.6 bilion) untuk pendidikan awam.

Bermula 1 Januari, sekolah swasta akan dikenakan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 20 peratus ke atas yuran pengajian.

Pendapatan itu akan digunakan untuk membiayai ribuan guru baharu dan meningkatkan mutu sekolah awam.

"Sudah tiba masanya sesuatu yang berbeza dilakukan," kata Menteri Kewangan Rachel Reeves dalam satu kenyataan pada Ahad.

"Pembiayaan itu akan disalurkan ke sekolah awam, tempat 94 peratus kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan," tambah beliau.

Dasar tersebut merupakan janji Parti Buruh dalam kempen pilihan raya dan secara rasmi dimasukkan dalam belanjawan pertama mereka pada Oktober lalu.

Menurut Majlis Sekolah Bebas, yang mewakili sekolah swasta, yuran pengajian di sekolah swasta kini sudah mencecah purata £18,000 (RM103,000) setahun. Jumlah itu dijangka meningkat sekitar 10 peratus akibat cukai baharu, dengan sebahagian kos ditanggung oleh sekolah.

"Standard pendidikan yang tinggi tidak sepatutnya hanya untuk keluarga yang mampu," kata Menteri Pendidikan Bridget Phillipson.

Bagaimanapun, penentang pembaharuan ini berpendapat bahawa pendaftaran di sekolah awam akan meningkat jika sektor swasta terjejas, sekali gus meningkatkan kos kepada kerajaan. Namun, kajian menunjukkan sebaliknya.

Institut Kajian Fiskal (IFS) menganggarkan bahawa jumlah pelajar di sekolah awam sebenarnya akan berkurangan menjelang 2030 disebabkan oleh penurunan populasi yang dijangka.

Beberapa pusat kajian juga menunjukkan jurang antara sekolah swasta dan sekolah awam meningkat dengan ketara sepanjang 14 tahun pemerintahan Konservatif. - AFP

TETITIA YUSOFF