KAHERAH, 29 Disember- Mesir mengumumkan pada Sabtu bahawa ia telah berjaya menguji laluan baharu sepanjang 10 kilometer di bahagian selatan Terusan Suez, meskipun hasil pendapatan dari laluan tersebut merosot sejak kumpulan Huthi Yaman mula menyerang kapal-kapal di Laut Merah.
Pihak Berkuasa Terusan Suez dalam satu kenyataan berkata bahawa dua kapal telah melalui bahagian baharu di laluan dua hala terusan tersebut tanpa sebarang kejadian buruk.
Mesir mempercepatkan rancangan untuk memanjangkan saluran kedua di bahagian selatan terusan serta melebarkan laluan sedia ada susulan insiden kapal kontena Ever Given yang terkandas dan menghalang laluan penting berkenaan selama enam hari pada tahun 2021,
Walau bagaimanapun, pendapatan Mesir dari terusan yang menjadi laluan terpendek antara Eropah dan Asia itu merosot secara mendadak sejak kumpulan Huthi Yaman mula menyerang kapal-kapal di Laut Merah pada November 2023.
Serangan tersebut dilakukan sebagai tanda solidariti dengan kumpulan Hamas Palestin di Gaza.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, pada Khamis berkata bahawa disebabkan "cabaran serantau," negara itu telah kehilangan kira-kira AS$7 bilion dalam pendapatan Terusan Suez pada 2024, mencatatkan penurunan lebih 60% berbanding 2023.
Menurut Pihak Berkuasa Terusan Suez, peluasan terbaharu itu meningkatkan jumlah panjang bahagian dua hala terusan kepada 82 kilometer berbanding 72 kilometer sebelum ini.
Keseluruhan panjang terusan adalah 193 kilometer.
"Peluasan ini akan meningkatkan kapasiti terusan untuk mengendalikan tambahan enam hingga lapan kapal sehari serta memperkukuh keupayaannya menghadapi sebarang kecemasan," kata kenyataan itu.
Terdahulu tahun ini, Mesir turut menyatakan bahawa ia sedang mempertimbangkan projek peluasan tambahan yang berasingan daripada sambungan saluran sepanjang 10 kilometer ini.-REUTERS.