(Anggota tentera Ukraine memandu kereta kebal berhampiran Kreminna,
wilayah Lugansk, pada 12 Januari 2023/AFP)
LONDON, 15 Januari- Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berikrar untuk menyediakan 14 buah kereta kebal Challenger 2 kepada Ukraine.
Ini menjadikan ia negara Barat pertama yang membekalkan kereta kebal berat seperti yang diminta Kiev.
Ikrar itu menyaksikan reaksi pantas dari Rusia yang memberi amaran tindakan itu hanya akan "meningkatkan" konflik.
"Membawa kereta kebal ke zon konflik, jauh daripada menutup permusuhan, hanya akan meningkatkan pertempuran, meningkatkan korban, termasuk dalam kalangan penduduk awam", kata Kedutaan Rusia di UK.
Sunak berkata kereta kebal itu adalah tanda "cita-cita UK untuk meningkatkan sokongan kepada Ukraine", menurut panggilan telefon dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.
Sekutu Eropah Ukraine telah menghantar lebih daripada 300 kereta kebal Soviet moden ke Kiev sejak Rusia menyerang pada Februari tahun lalu.
Namun, mereka setakat ini telah menangguhkan penghantaran kereta kebal buatan Barat yang telah berulang kali diminta oleh Ukraine bagi menentang pencerobohan Rusia.
(Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak/AFP)
Zelensky berterima kasih kepada UK di Twitter kerana membuat keputusan yang "bukan sahaja akan menguatkan tenteranya di medan perang, tetapi juga menghantar isyarat yang betul kepada rakan kongsi lain.
Tentera Ukraine telah mengalami kehilangan yang besar dalam pertempuran Soledar dan Bakhmut dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan Ukraine telah menyeru sekutu negara itu untuk memberikan lebih banyak sokongan.
Jumaat lalu, Rusia berkata tenteranya berjaya merampas kawalan bandar Soledar di timur Ukraine dan mendakwa kemenangan pertamanya dalam beberapa bulan selepas kekecewan dalam medan perang. Bagaimanapun, Ukraine berkata pertempuran sengit masih berlangsung.
"Untuk memenangi perang ini, kami memerlukan lebih banyak peralatan ketenteraan, peralatan berat," kata ketua pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak.
Sementara itu, Menteri Luar Dmytro Kuleba memaklumkan bahawa beliau telah bercakap dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan "menekankan keperluan" untuk Ukraine menerima kereta kebal buatan Barat.
UK juga akan menghantar kira-kira 30 AS90, senjata besar bergerak sendiri yang dikendalikan oleh lima penembak.
Kereta kebal itu akan tiba di Ukraine dalam beberapa minggu akan datang, menurut kenyataan kedua dari Sunak di pejabat Downing Street.
Katanya, UK juga akan mula melatih Angkatan Bersenjata Ukraine untuk menggunakan kereta kebal dan senjata api dalam beberapa hari akan datang.
“Memasuki tahun kedua pencerobahan dan serangan berterusan Rusia, Perdana Menteri, Sunak berdedikasi untuk memastikan Ukraine memenangi perang ini,” kata jurucakap Downing Street.
Isu kereta kebal berat telah sekian lama menjadi isu penting untuk Kiev dan Ramai pakar melihat menyediakan Ukraine dengan kereta kebal moden adalah penting dalam meningkatkan keupayaannya untuk menang menentang Rusia.
Dalam pada itu, Jerman amat teragak-agak untuk membekalkan kereta kebal berat.
Jerman telah menghantar artileri mudah alih dan pertahanan udara yang kuat, bagaimanapun bimbang dengan peningkatan konflik dengan Moscow.
Sunak komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi memastikan Ukraine berada di tempat yang paling kukuh ke arah rundingan damai masa depan dari aspek kekuatan ketenteraan, ekonomi, diplomatik serta menjamin keamanan yang kukuh dan berkekalan", tambah kenyataan itu.
Pengumuman Britain itu dibuat menjelang Mesyuarat Kumpulan Hubungan Pertahanan Ukraine minggu depan, yang menyelaras bekalan senjata ke Kiev, di Pangkalan Udara Ramstein, Jerman.-AFP