fb fb fb fb fb

UK akan iktiraf Palestin jika Israel gagal ambil langkah tegas

Setiausaha Luar Britain, David Lammy/Foto AFP

NEW YORK, 30 Julai – Setiausaha Luar Britain, David Lammy, menyatakan bahawa United Kingdom (UK) akan secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin pada September jika Israel gagal mengambil langkah bermakna untuk menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Bercakap pada persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin, Lammy mengecam penolakan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu terhadap penyelesaian dua negara.

“Penolakan kerajaan Netanyahu terhadap penyelesaian dua negara adalah salah secara moral dan salah dari segi strategi,” tegas beliau.

Kenyataan tegas itu hadir di tengah-tengah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel berikutan serangan dan kepungan berterusan di Gaza.

"Kami akan mengiktiraf negara Palestin pada bulan September, kecuali Israel bertindak menamatkan keadaan yang amat dahsyat di Gaza." tambah beliau.

Langkah ini bakal menjadikan UK antara negara G7 pertama mengiktiraf Palestin, selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut menyatakan hasrat sama semasa Perhimpunan Agung PBB pada September. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI