LONDON, 30 Julai - Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, mengumumkan bahawa United Kingdom (UK) akan mengiktiraf negara Palestin apabila Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bersidang pada September ini, sekiranya Israel gagal mengambil langkah konkrit untuk menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.
Antara syarat yang ditetapkan termasuk menghentikan keganasan di Gaza, bersetuju dengan gencatan senjata, menolak rancangan pengambilan secara paksa tanah di Tebing Barat, dan menyokong proses damai ke arah penyelesaian dua negara.
Starmer menegaskan bahawa gencatan senjata di Gaza mesti menjadi langkah pertama ke arah pelan damai yang lebih menyeluruh di rantau itu.
“Gencatan senjata ini mestilah membawa kepada pelan damai yang lebih luas.
“Ini masa untuk bertindak. Penyelesaian dua negara kini terancam,” kata Starmer dalam ucapannya di Downing Street.
Langkah ini bakal menjadikan UK antara negara G7 pertama mengiktiraf Palestin, selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron, turut menyatakan hasrat sama semasa Perhimpunan Agung PBB pada September.
Starmer turut menggesa Hamas membebaskan semua tebusan, melucutkan senjata dan tidak terlibat dalam pemerintahan Gaza.
Beliau berkata, penilaian akan dibuat pada September dan tiada pihak boleh memveto keputusan UK.
Dalam masa sama, Britain turut memulakan penghantaran bantuan udara ke Gaza bernilai setengah juta paun, susulan amaran kebuluran oleh agensi kemanusiaan.
“Rakyat Palestin kini menderita. Penderitaan ini mesti dihentikan,” tegas Starmer. - AFP