fb fb fb fb fb

Isu penyakit otak kembali cetus perhatian di AS

Foto hiasan/AFP

NEW YORK, 30 Julai – Seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di sebuah bangunan pejabat di Midtown Manhattan pada Isnin didakwa mempercayai dirinya mengalami kecederaan otak yang dikaitkan dengan sukan bola sepak Amerika Syarikat (AS).

Ia sekali gus kembali mencetuskan perhatian terhadap isu penyakit otak degeneratif, Chronic Traumatic Encephalopathy (CTE).

Suspek, Shane Tamura, 27 tahun, bekas pemain bola sepak peringkat sekolah menengah yang turut mempunyai sejarah penyakit mental, menembak mati empat orang menggunakan senapang automatik di sebuah menara pejabat di Park Avenue yang menempatkan ibu pejabat National Football League (NFL), sebelum menembak dirinya sendiri di bahagian dada.

Menurut pakar penyelidik otak dari Fakulti Perubatan Universiti Boston, Dr. Ann McKee, CTE ialah penyakit degeneratif yang berpunca daripada hentakan berulang pada kepala, termasuk hentakan yang mengakibatkan gegaran otak serta hentakan tidak bergejala dan hanya boleh disahkan selepas kematian.

Antara simptom biasa termasuk agresif melampau dan kemerosotan kognitif seperti demensia.

“Salah satu penemuan paling penting ialah tempoh bermain, tahun-tahun bermain bola sepak secara langsung dikaitkan dengan peningkatan risiko CTE.

Bagi setiap 2.6 tahun seseorang bermain bola sepak, risiko untuk menghidap CTE akan berganda, atau meningkat sekitar 30 peratus setiap tahun," katanya.

Walaupun belum disahkan sama ada Tamura menghidap CTE, Dr. McKee berkata penyelidikan menunjukkan kaitan antara penyakit itu dengan atlet yang bermain bola sepak di pelbagai peringkat, termasuk peringkat sekolah menengah.

NFL sebelum ini mengakui wujud kaitan antara gegaran otak akibat perlawanan dan CTE. Pada tahun 2015, liga itu bersetuju membayar pampasan hampir AS$1 bilion kepada ribuan bekas pemain yang memfailkan saman berkaitan kecederaan otak, susulan kematian beberapa pemain terkenal. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI