NEW YORK, 30 Julai – Gaza kini berada di ambang kebuluran yang paling dahsyat, tindakan seperti penghantaran makanan melalui udara adalah tidak mencukupi untuk mengatasi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Menurut laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC), situasi kebuluran yang sebelum ini digambarkan sebagai "senario paling buruk" kini sedang berlaku di wilayah Palestin itu.
IPC menegaskan bahawa hanya akses kemanusiaan yang segera dan tanpa halangan ke Gaza mampu menghentikan peningkatan mendadak kes kebuluran dan kematian.
“Program Makanan Sedunia (WFP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa Gaza berdepan risiko kebuluran yang amat serius, apabila tahap pemakanan dan penggunaan makanan telah mencapai paras paling buruk sejak konflik bermula," demikian dinyatakan Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq, dalam satu sidang media, di sini.
Menurut data IPC, dua daripada tiga penanda aras kebuluran kini telah dilanggar di beberapa bahagian wilayah tersebut.
Laporan itu menekankan bahawa situasi di Gaza tidak lagi berada pada tahap amaran semata-mata, sebaliknya telah memasuki fasa kritikal, dengan jutaan penduduk menghadapi kelaparan akut dan akses bantuan yang sangat terhad akibat sekatan berterusan.
PBB terus menggesa agar akses kemanusiaan ke Gaza dibuka sepenuhnya dan segera, bagi mengelakkan lebih ramai mangsa terkorban akibat kebuluran, terutama golongan kanak-kanak dan warga emas. - AFP