fb fb fb fb fb

Erdogan gambarkan Gaza lebih teruk daripada kem tahanan Nazi

Foto REUTERS

ANKARA, 30 Julai – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menyuarakan kecaman keras terhadap Israel yang didakwa menggunakan kelaparan sebagai senjata terhadap penduduk Gaza.

Beliau menyifatkan keadaan di wilayah itu lebih teruk daripada kekejaman yang pernah berlaku di kem tahanan Nazi.

Menurut Erdogan, penderitaan rakyat Palestin di Gaza menggambarkan kegagalan sistem kemanusiaan global yang amat serius.

"Menjadikan kelaparan sebagai senjata, khususnya terhadap rakyat Palestin adalah bukti paling jelas bahawa Israel tidak mempunyai sifat kemanusiaan," tegas beliau dalam satu sidang media, di sini.

Menurut Erdogan, imej yang muncul dari Gaza menggambarkan situasi yang amat mengerikan.

"Gambar-gambar dari Gaza jauh lebih dahsyat, lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan berbanding dengan kem tahanan Nazi. Satu bangsa sedang dibunuh dengan kelaparan dan kehausan di mata dunia," katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat susulan amaran bersama oleh tiga agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Program Makanan Sedunia (WFP), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang menyatakan bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran sepenuhnya.

Dalam ucapannya, Erdogan sekali lagi melabel Israel sebagai sebuah "negara pengganas" dan mendakwa negara itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza.

"Saudara-saudara kita di Gaza sedang berdepan dengan genosid," ujar beliau.

Situasi kemanusiaan di Gaza terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa, namun tekanan terhadap Israel setakat ini masih belum membuahkan hasil yang signifikan dalam menghentikan penderitaan yang berterusan. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI