JOHANNESBURG, 14 Mei– Ujian dan pemantauan pesakit HIV di seluruh Afrika Selatan telah menurun selepas Amerika Syarikat memotong bantuan kewangan yang membiayai pekerja kesihatan dan klinik, menurut data kerajaan yang belum pernah diterbitkan.
Penurunan berkenaan memberi kesan paling besar kepada wanita hamil, bayi dan golongan muda.
Afrika Selatan mempunyai beban HIV tertinggi di dunia, dengan kira-kira 8 juta penduduk iaitu satu daripada lima orang dewasa hidup dengan virus tersebut.
Sebelum ini, Amerika Syarikat membiayai 17 peratus daripada bajet HIV negara berkenaan sebelum Presiden Donald Trump memotong bantuan itu awal tahun ini.
Data dari Perkhidmatan Makmal Kesihatan Negara itu menunjukkan ujian viral load menurun sehingga 21 peratus dalam kalangan kumpulan utama dalam dua bulan terakhir.
Empat pakar HIV berkata penurunan ini berkemungkinan besar disebabkan kehilangan pembiayaan dari AS.
Ujian viral load penting kerana ia mengukur jumlah virus dalam darah pesakit HIV yang sedang menerima rawatan anti-retroviral.
Ujian ini digunakan untuk memantau keberkesanan rawatan dan mencegah penularan virus kepada orang lain.
Kekurangan ujian itu bermakna lebih ramai pesakit yang berisiko menyebarkan virus tidak akan dikenal pasti, dan ia juga mungkin petanda bahawa pesakit telah menghentikan rawatan.
Wanita hamil dan bayi sangat memerlukan ujian ini memandangkan mereka berisiko menjangkiti anak ketika kelahiran.
Manakala bayi yang tidak mendapat rawatan awal berisiko tidak dapat bertahan hidup.
Bantuan kewangan daripada PEPFAR (inisiatif HIV global AS) sebelum ini menyediakan lebih $400 juta setahun dan membiayai gaji kira-kira 15,000 pekerja kesihatan di Afrika Selatan.
Bantuan itu kini hampir dihentikan sepenuhnya, walaupun jumlah sebenar pemotongan tidak dinyatakan.
Penutupan klinik NGO yang disokong dana AS turut memburukkan keadaan. Kerajaan telah meminta pesakit berpindah ke pusat kesihatan awam, namun pusat-pusat ini sering sesak, dengan layanan yang tidak mesra terhadap golongan tertentu seperti pekerja seks atau golongan gay.
Menurut data yang dilihat Reuters, ujian viral load untuk mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 17.2 peratus pada April berbanding tahun lalu, selepas penurunan 7.8 peratus pada Mac.
Ujian untuk wanita hamil menurun 21.3 peratus pada April, dan ujian diagnostik awal untuk bayi menurun 19.9 peratus dalam bulan yang sama. Kadar penekanan virus (viral suppression) dalam kalangan mereka yang diuji turut menurun sebanyak 3.4 peratus pada Mac dan 0.2 peratus pada April, dengan penurunan lebih ketara dalam kalangan anak muda, menunjukkan rawatan mungkin telah terganggu.
Francois Venter, pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Ezintsha di Johannesburg berkata angka ini amat mengejutkan dan memberi kesan mendalam kepada kesihatan ibu dan anak di seluruh negara.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Foster Mohale, berkata lebih banyak analisis diperlukan dan bahawa Afrika Selatan memang sudah menghadapi cabaran dalam mengekalkan pesakit dan melaksanakan ujian sebelum pemotongan bantuan berlaku.
Namun, pakar HIV telah lama menyuarakan kebimbangan bahawa kementerian kesihatan memandang ringan kesan kehilangan dana ini, dan penurunan ujian mungkin tanda awal peningkatan kes dan kematian akan berlaku.
Pakar HIV juga menyatakan bahawa ujian diagnostik turut terjejas, walaupun data itu tidak tersedia. Kaunselor yang sebelum ini melakukan ujian HIV cepat juga telah hilang, dan wanita hamil kini tidak lagi diberi ubat pencegah HIV (PrEP) kerana kaunselor yang dulu mengendalikannya telah diberhentikan.
Di kawasan setinggan Diepsloot, aktivis HIV dan pemimpin komuniti, Sophy Moatshe, berkata stigma membuatkan pesakit tidak mahu ke klinik, dan tanpa pekerja kesihatan untuk menjejak mereka, ramai yang akan hilang dalam sistem dan tidak lagi mendapatkan rawatan.
“Mereka tak mahu pergi ke klinik,” katanya di luar sebuah pusat komuniti. “Kalau tiada siapa yang periksa mereka, mereka akan mati.”
Masa depan bantuan AS untuk HIV kekal tidak pasti di Afrika Selatan dan di peringkat global, apabila Trump meneruskan pemotongan besar dalam bajet bantuan antarabangsa sejajar dengan agenda "America First" beliau.
Pemotongan ini juga memberi kesan kepada penyelidikan termasuk ujian vaksin HIV. Jurucakap Kementerian Kesihatan Afrika Selatan Mohale, berkata kerajaan sedang berbincang dengan bakal penderma tempatan dan antarabangsa bagi menampung kekurangan dana, tetapi enggan memberikan butiran lanjut.-REUTERS