RIYADH, 14 Mei-Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa Washington akan menamatkan semua sekatan terhadap kerajaan Syria pimpinan Ahmed al-Sharaa.
Ia sekali gus membuka jalan untuk menormalisasikan hubungan antara kedua-dua negara.
Pertemuan itu berlangsung sebelum sidang kemuncak antara Amerika Syarikat dan negara-negara Teluk Arab.
Jurucakap White House berkata Trump turut menggesa Sharaa agar memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel.
Meskipun terdapat kebimbangan berhubung sejarah hubungan pemimpin Syria dengan Al-Qaeda, Trump dalam ucapannya menyatakan bahawa beliau akan menamatkan sekatan ke atas Syria yang merupakan satu perubahan dasar.
Keputusan berkenaan memberikan kelebihan kepada Sharaa, yang kini sedang berusaha mengukuhkan pengaruh dalam kerajaan Syria selepas menggulingkan Presiden Bashar al-Assad pada Disember lalu.
Sharaa pernah mengetuai sayap rasmi Al-Qaeda dalam konflik Syria dan menghabiskan lima tahun dalam penjara AS di Iraq.
Pada Disember lalu, Washington menarik balik ganjaran $10 juta yang ditawarkan untuk penangkapannya.
Terdahulu, Trump memulakan lawatan empat harinya di Asia barat dengan pemeteraian perjanjian perniagaan, termasuk pelaburan AS$600 bilion dari Arab Saudi ke AS dan penjualan senjata AS bernilai AS$142 bilion kepada kerajaan Arab Saudi.
Trump kemudiannya akan berlepas ke Qatar, bagi lawatan rasmi bersama Emir Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani.
Qatar dijangka mengumumkan pelaburan ratusan bilion dolar ke dalam ekonomi Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, White House mengumumkan rancangan menerima pesawat Boeing 747-8 yang akan dijadikan Air Force One sebagai hadiah dari Qatar.
Pesawat mewah itu, yang bakal menjadi antara hadiah paling mahal pernah diterima kerajaan AS, dirancang untuk disumbangkan kepada perpustakaan presiden Trump kelak.
Namun, langkah ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan Demokrat serta kebimbangan keselamatan dwipartisan, dengan sesetengah pegawai menyuarakan kebimbangan ia boleh menimbulkan persepsi rasuah walaupun tiada pertukaran faedah secara langsung.
Qatar Airways dijangka mengumumkan perjanjian pembelian sekitar 100 pesawat badan lebar dari Boeing, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.
Selepas lawatan ke Qatar, Trump dijadualkan ke Abu Dhabi pada Khamis untuk bertemu pemimpin UAE, sebelum kembali ke Washington pada Jumaat.
Namun, beliau juga menyatakan kemungkinan meneruskan penerbangan ke Turki untuk pertemuan berpotensi antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.