fb fb fb fb fb

PM Peru letak jawatan di tengah krisis jenayah dan tekanan politik

Bekas Perdana Menteri Peru, Gustavo Adrianzen / Foto AFP

LIMA, 14 Mei-Perdana Menteri Peru, Gustavo Adrianzen, meletak jawatan pada Selasa, sehari sebelum parlimen dijadualkan mengadakan undi tidak percaya terhadapnya.

Adrianzen, sekutu paling dipercayai kepada Presiden Dina Boluarte, mengemukakan peletakan jawatan kepada Boluarte dan para menteri.

Tindakan itu dilakukan ketika kerajaan negara itu dituduh gagal menangani gelombang pembunuhan yang dikaitkan dengan kumpulan pemeras ugut.

Beliau merupakan Perdana Menteri ketiga di bawah pentadbiran Boluarte dalam tempoh kurang tiga tahun.

Adrianzen, 58 tahun, dilantik pada Mac 2024 selepas pengganti sebelumnya meletak jawatan susulan skandal salah guna pengaruh.

Desakan untuk berundur datang dari ahli parlimen pelbagai parti yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan peningkatan luar biasa jenayah kumpulan yang menyebabkan tentera dikerah di bawah perintah darurat.

Jenayah pemerasan yang sebelum ini berleluasa di Amerika Latin kini mencetuskan kebimbangan serius di Peru, dengan kumpulan berbahaya seperti Tren de Aragua dari Venezuela dilaporkan aktif di negara itu.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD