ISLAMABAD, 14 Mei-Pakistan menyerahkan semula seorang pengawal sempadan India Purnam Kumar Shaw, ditahan sejak 23 April pada Rabu.
Langkah berkenaan menandakan satu lagi langkah damai selepas gencatan senjata menamatkan konflik berdarah selama empat hari antara dua negara bersenjata nuklear itu.
“Penyerahan dibuat secara aman dan mengikut protokol yang ditetapkan,” kata Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF) dalam satu kenyataan.
Pada 22 April lepas, Sekurang-kurangnya 26 orang maut apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pelancong di kawasan peranginan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas insiden itu, namun India menyalahkan Pakistan kerana didakwa menyokong serangan tersebut.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan ditolak oleh Islamabad, yang sebaliknya menuntut siasatan bebas dilakukan India.
Sementara itu, tentera Pakistan pada Selasa mengumumkan angka korban akibat serangan India meningkat kepada 40 orang awam termasuk wanita, kanak-kanak , serta 11 anggota tentera.
Manakala India pula mendakwa serangan Pakistan membunuh 15 orang awam dan lima askarnya.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam ucapan kepada rakyat pada Isnin menyatakan bahawa Pakistan “memilih untuk menyerang, bukannya membantu dalam memerangi keganasan,” dan memberi amaran bahawa serangan seterusnya akan dibalas dengan tindakan keras.
Salam pada itu, Kementerian Luar Pakistan pula membalas kenyataan Modi sebagai “provokatif dan menghasut”, serta menuduh India cuba mencipta naratif palsu untuk membenarkan tindakan agresifnya.
“Kami akan pantau dengan teliti tindak-tanduk India dalam hari-hari mendatang dan menyeru masyarakat antarabangsa berbuat demikian juga,” tambah kenyataan itu.-AFP.