fb fb fb fb fb

Dua hilang selepas pesawat tentera Jepun terhempas di Tasik Iruka

Foto AFP

TOKYO, 14 Mei- Dua juruterbang tentera Jepun dilaporkan hilang selepas pesawat latihan yang dipandu terhempas berdekatan sebuah tasik sejurus selepas berlepas dari Pangkalan Udara Komaki menurut pihak berkuasa pada Rabu.

"Pesawat latihan T-4 milik Pasukan Pertahanan Diri Udara terhempas pada jam 3:08 petang waktu tempatan selepas radar kehilangannya berhampiran sebuah tasik... sejurus berlepas ", kata Menteri Pertahanan Gen Nakatani kepada pemberita.

Nakatani berkata dua orang berada di dalam pesawat itu, namun tidak mendedahkan identiti mereka.

“Kita tidak tahu apa punca nahas pesawat itu, namun kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan nyawa,” katanya sambil menambah bahawa pihak tentera sedang menjalankan operasi mencari.

Serpihan bahagian pesawat telah ditemui berhampiran lokasi kejadian, tetapi masih belum disahkan sama ada ia milik pesawat yang terhempas, kata Nakatani lagi.

T-4 adalah pesawat latihan yang mempunyai dua tempat duduk dan digambarkan sebagai "pesawat latihan buatan tempatan yang sangat boleh dipercayai dan mudah disenggara... digunakan untuk semua kursus asas penerbangan," menurut laman sesawang Kementerian Pertahanan Jepun.

Pesawat itu dilaporkan terbang di kawasan sekitar Tasik Iruka berhampiran bandar Inuyama, utara Nagoya.

"Masih tiada tanda pesawat ditemui.

"Kami dimaklumkan bahawa tinjauan udara oleh helikopter wilayah Aichi telah menemui kawasan di mana terdapat tompokan minyak di permukaan tasik," kata pegawai bomba tempatan Hajime Nakamura kepada AFP.

Rakaman udara tasik yang disiarkan oleh NHK menunjukkan tompokan minyak di permukaannya, disertai dengan objek-objek kecil yang dipercayai serpihan pesawat.

Agensi Jiji Press pula melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada kerosakan pada rumah-rumah di kawasan tersebut.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD