fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Albania: Rama raih mandat kukuh, EU sedia buka laluan

Presiden Albania, Edi Rama mengekalkan mandat buat kali keempat berturut-turut pada pilihan raya negara itu pada Selasa / Foto AFP

TIRANA, 14 Mei – Pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Albania, Edi Rama, pada Rabu selepas partinya menang besar dalam pilihan raya negara Balkan itu, sekali gus mengukuhkan harapan Tirana untuk menyertai blok Eropah menjelang 2030.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menyifatkan kemenangan Rama sebagai pembuka jalan ke arah penyertaan Albania ke dalam EU.

“Albania layak berada dalam EU! Mari kita terus bekerjasama rapat dalam pembaharuan.", katanya menerusi X.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron turut menyatakan sokongan penuh kepada hasrat Albania untuk menyertai blok tersebut.

“Perancis sentiasa akan berdiri bersama Albania dalam laluan Eropahnya", katanya dalam satu kenyataan.

Parti Sosialis pimpinan Rama memenangi 52.1% undi dalam pilihan raya Ahad lalu, jauh meninggalkan pakatan pembangkang yang diketuai musuh politiknya, Sali Berisha, yang memperoleh 34.2% undi, menurut keputusan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat.

EU memantau pilihan raya tersebut dengan teliti kerana ia dianggap sebagai ujian penting terhadap kematangan demokrasi Albania, negara Balkan yang paling pro-Eropah selepas mengalami dekad pemerintahan kuku besi.

Rama, 60, yang kini memasuki penggal keempat sebagai perdana menteri, menjadikan integrasi Eropah sebagai teras utama kempen beliau, termasuk janji untuk mencapai keanggotaan penuh EU menjelang 2030.

Presiden Majlis EU, Antonio Costa, dijadualkan bertemu Rama di Tirana pada Khamis sebelum Perhimpunan Komuniti Politik Eropah yang berlangsung pada Jumaat, melibatkan 47 negara dari dalam dan luar EU.

“Tahniah setulusnya, Edi Rama, atas keputusan pilihan raya yang mengagumkan ini. Saya tidak sabar untuk mengucapkannya secara peribadi di Tirana,” kata Costa.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD