fb fb fb fb fb

India tolak tindakan China namakan semula kawasan di Arunachal Pradesh

Foto REUTERS

NEW DELHI, 14 Mei – India pada Rabu menolak tindakan China yang menamakan semula beberapa lokasi di negeri timur laut Arunachal Pradesh, dengan menyatakan wilayah pergunungan itu adalah merupakan sebahagian dari India.

Jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal menegaskan bahawa "penamaan secara kreatif tidak akan mengubah hakikat bahawa Arunachal Pradesh akan kekal menjadi bahagian tidak boleh dipisahkan dari India.

China sebelum ini beberapa kali menamakan semula kawasan di Arunachal Pradesh, yang dituntutnya sebagai sebahagian dari Tibet Selatan dirujuk sebagai Zangnan.

Beijing mendakwa wilayah itu berada dalam kedaulatan China, dakwaan yang ditolak keras oleh New Delhi.

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, dalam satu taklimat media berkata China telah “menyeragamkan beberapa nama tempat” di Arunachal Pradesh, sesuatu yang menurutnya adalah sepenuhnya dalam kedaulatan China, satu kenyataan yang lazim dibuat Beijing dalam isu ini.

Tindakan terbaru Beijing ini menjadi satu lagi halangan dalam hubungan diplomatik antara dua negara jiran Asia itu, yang telahpun tegang sejak insiden pertempuran maut pada tahun 2020 di sempadan Himalaya barat.

Walaupun satu perjanjian untuk mengundurkan tentera telah dicapai pada Oktober lalu di kawasan Himalaya barat, ketegangan tetap wujud di sepanjang sempadan sepanjang 3,800 kilometer (km) yang tidak ditandai dengan jelas itu.

Kedua-dua negara pernah berperang pada tahun 1962 dan beberapa pertembungan kecil turut berlaku sejak itu.

Pada April tahun lalu, China juga menamakan semula kira-kira 30 lokasi di Arunachal Pradesh, yang disifatkan India sebagai “tidak masuk akal” dan sekali lagi mengesahkan wilayah itu sebagai sebahagian sah negaranya.

Isu itu timbul hanya beberapa hari selepas India dan Pakistan menamatkan empat hari konflik ketenteraan yang melibatkan jet pejuang, peluru berpandu dan dron, selepas serangan India ke atas kem yang didakwanya sebagai pemberontak di Pakistan dan Kashmir.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD