fb fb fb fb fb

UAE teruskan misi "airdrop" bantuan di Gaza, 10 cedera akibat kotak jatuh

FOTO REUTERS

GAZA, 29 Julai – Emiriah Arab Bersatu (UAE) meneruskan operasi 'airdrop' bantuan di Gaza semalam, dengan sekurang-kurangnya 10 orang cedera akibat terkena kotak bantuan yang jatuh, menurut pegawai kesihatan Palestin di Gaza.

Tindakan itu susulan pengumuman Israel pada Ahad yang akan menghentikan operasi ketenteraan selama 10 jam sehari di beberapa kawasan Gaza dan membuka laluan baharu bagi membolehkan penghantaran bantuan, termasuk melalui 'airdrop' oleh Jordan dan UAE.

Krisis kemanusiaan di Gaza terus mendapat perhatian dunia dengan imej kebuluran rakyat Palestin mencetuskan kebimbangan global, walaupun Israel menolak kritikan antarabangsa terhadap tindakannya.

Sementara itu, rundingan gencatan senjata tidak langsung antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas di Doha dilaporkan terhenti tanpa sebarang persetujuan.

Perang Israel-Hamas bermula sejak 7 Oktober 2023 meragut hampir 60,000 nyawa di Gaza, kebanyakannya orang awam, selain memusnahkan sebahagian besar kawasan dan memaksa hampir keseluruhan penduduknya berpindah.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE