fb fb fb fb fb

Trump umum tubuh pusat makanan di Gaza

FOTO REUTERS

GLASGOW, 29 Julai – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan rancangan menubuhkan pusat makanan di Gaza, susulan kebimbangan terhadap isu kebuluran di wilayah itu.

Trump yang kini dalam lawatan ke Scotland dan bertemu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, usaha itu bertujuan memudahkan akses makanan tanpa sebarang halangan atau sekatan.

“Kita akan menubuhkan pusat makanan tanpa pagar atau sempadan bagi memudahkan akses. Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan negara lain untuk menyediakan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, termasuk makanan dan sanitasi,” katanya.

Beliau menegaskan keadaan kebuluran di Gaza adalah realiti yang memerlukan tindakan segera, berbeza dengan pandangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang sebelum ini menafikan wujud kebuluran di wilayah berkenaan.

Dalam pada itu, Trump turut memberi amaran terhadap Iran yang didakwa menghantar “isyarat jahat” berkaitan usaha memulakan semula program nuklearnya.

“Mereka telah menghantar isyarat yang sangat buruk, sangat jahat. Mereka tidak sepatutnya berbuat demikian,” katanya.

Trump turut menyentuh isu perdagangan Amerika Syarikat dan China susulan rundingan semula pegawai ekonomi kedua-dua negara di Stockholm, dengan menyatakan harapan agar China membuka pasarnya dengan lebih luas.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE