fb fb fb fb fb

Maraton Kutub Utara 2025 fokus perubahan iklim di Artik

FOTO REUTERS

KUTUB UTARA, 29 Julai – Maraton Kutub Utara 2025 bukan sekadar perlumbaan tahunan di titik paling utara dunia, malah menjadi platform ekspedisi saintifik bagi menangani isu perubahan iklim di Artik.

Penganjur marathon, Runbuk, turut menganjurkan North Pole Forum, satu inisiatif ilmiah yang memberi peluang kepada peserta memahami keadaan lapisan ais di Kutub Utara, cabaran pemeliharaan serta pembangunan di kawasan tersebut.

Forum itu diadakan di atas kapal pemecah ais Perancis, Le Commandant Charcot, yang membawa peserta pergi dan pulang ke lokasi marathon, serta menampilkan ceramah daripada pakar global mengenai Artik.

Ketua ekspedisi saintifik kapal berkenaan, peneroka Artik berpengalaman Peter Damisch, memaklumkan kapal itu turut mengumpul pelbagai data saintifik berharga termasuk sampel air sepanjang perjalanan.

Selain saintis, forum tersebut turut menampilkan pengarah program Arctic Initiative, Jennifer Spence, yang menekankan bahawa tanggungjawab mengumpul data dan mengurangkan kesan perubahan iklim di Artik adalah usaha bersama global.

“Kerjasama saintifik amat penting dan memerlukan kerjasama merentasi sempadan kerana jenis data yang diperlukan tidak boleh dilakukan oleh satu negara sahaja,” katanya.

Merujuk kepada tuntutan Rusia ke atas hampir 50 peratus garis pantai Lautan Artik, Spence menyeru Moscow memperluas kerjasama antarabangsa dalam menangani perubahan iklim di rantau itu.

Isu perubahan iklim di Artik turut memberi kesan kepada sektor insurans, menurut Ketua Pegawai Eksekutif perkhidmatan insurans Bolttech, Rob Schinek.

Katanya, industri insurans kini berusaha mencari pendekatan baharu bagi memberikan perlindungan kepada pelanggan tanpa menjejaskan kelangsungan syarikat.

Laporan Pertubuhan Meteorologi Dunia 2025 mengunjurkan rantau Artik kini mengalami pemanasan tiga kali lebih pantas berbanding purata global.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE