fb fb fb fb fb

Twitter terima tawaran pengambilalihan Elon Musk bernilai AS$44 bilion

SAN FRANCISCO, 26 April - Twitter mengumumkan bahawa ia telah menerima tawaran Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk untuk mengambil alih syarikat itu pada harga AS$54.20 sesaham, dengan nilai keseluruhan AS$44 bilion.

"Lembaga Pengarah Twitter telah menjalankan proses yang komprehensif untuk menilai cadangan Elon dengan memberi fokus pada nilai, kepastian dan pembiayaan," kata Pengerusi Lembaga Bebas Twitter Bret Taylor, lapor Xinhua.

"Transaksi yang dicadangkan itu akan memberikan premium tunai yang besar, dan kami percaya ia adalah laluan terbaik ke hadapan untuk pemegang saham Twitter," tambahnya.

Urus niaga itu telah diluluskan sebulat suara oleh pihak lembaga, dan ia mungkin dimuktamadkan tahun ini selepas memperoleh kelulusan pemegang saham dan pengawalseliaan.

(Foto google)

Sementara itu Musk mengulangi pendiriannya bahawa "bebas bersuara" adalah kunci kepada masa depan Twitter. "Saya harap pengkritik saya yang paling teruk kekal di Twitter kerana itulah maksud kebebasan bersuara," tulisnya di Twitter.

"Kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi yang berfungsi, dan Twitter ialah dataran bandar digital yang menjadi platform perkara-perkara penting untuk masa depan umat manusia dibahaskan," kata Musk dalam kenyataan Twitter yang mengumumkan perjanjian itu.

"Saya juga mahu menjadikan Twitter lebih baik daripada sebelumnya dengan mempertingkat produk dengan ciri baharu, menjadikan algoritma sumber terbuka untuk meningkatkan kepercayaan pengguna. Twitter mempunyai potensi yang sangat besar - Saya berharap dapat bekerjasama dengan syarikat itu dan komuniti pengguna," tambahnya.

Media Baharu