fb fb fb fb fb

Turkiye nasihatkan rakyatnya supaya tidak lawat Sudan

Foto Hiasan/ BERNAMA

ANKARA, 28 Disember- Kementerian Luar Turkiye menggesa rakyat negara itu supaya mengelak daripada melawat Sudan kecuali atas sebab mendesak kerana keadaan keselamatan di negara itu semakin merosot, lapor Sputnik.

"Keadaan keselamatan di Sudan semakin merosot. Dalam keadaan semasa yang berpotensi mencetuskan masalah, kami menasihatkan rakyat supaya mengelak daripada melakukan perjalanan ke Sudan melainkan atas sebab-sebab yang mendesak.

"Rakyat kami yang masih di Sudan perlu terus memantau amaran dan pengumuman yang mungkin dikeluarkan oleh kementerian serta kedutaan kami di Khartoum, dan mengambil langkah perlu untuk memastikan keselamatan diri mereka,” menurut kenyataan kementerian itu.

Pada April, pertempuran ganas berlaku antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF). Sejak itu, pihak-pihak yang berkonflik telah melaksanakan beberapa gencatan senjata sementara di seluruh negara, namun gagal menyelesaikan konflik.

Pada hujung Oktober, kedua-dua pihak meneruskan rundingan yang diusahakan oleh Arab Saudi, namun permusuhan masih berterusan.

Pada awal Disember. Arab Saudi menangguhkan rundingan bagi tempoh masa yang tidak pasti dengan kedua-dua pihak.
- BERNAMA-SPUTNIK

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI