MALATYA, 4 Februari - Kerajaan Turkiye merancang untuk membina kira-kira14,636 buah rumah di seluruh wilayah Malatya,antara lokasi yang terjejas teruk akibat tragedi gempa bumi pada 6 Februari tahun lalu.
Gabenor bandar Malatya, Ali Kaban berkata, setakat ini 2,164 rumah telah dibina manakala 1,026 rumah dijangka siap Mac depan.
Manakala tender untuk membina 7,542 rumah di luar bandar juga sudah dikeluarkan.
Kompleks perumahan lima tingkat itu di bina di beberapa kawasan penempatan tengah wilayah Malatya yang telah digazetkan sebagai lokasi penempatan mangsa gempa bumi.
Jelas Ali, kediaman ini lebih selesa dan kondusif dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan dapur yang dilengkapi kabinet.
Jelas Ali lagi, kerajaan akan terus membantu rakyatnya dengan apa cara sekalipun agar keadaan kembali pulih sepenuhnya.
Pada 6 Februari tahun lalu, lebih 50,000 orang kehilangan nyawa malah lebih 100,000 orang cedera di Kahramanmaraş, Hatay, Malatya dan Adıyaman di Turkiye.
Gempa bumi di wilayah Gaziantep, Kilis, Diyarbakır, Adana, Osmaniye serta Elazığ disifatkan sebagai gempa bumi paling teruk di dunia dalam tempoh seratus tahun.