fb fb fb fb fb

Turkiye bakal eksport 48 jet pejuang KAAN ke Indonesia- Erdogan

Recep Tayyip Erdogan / REUTERS

ISTANBUL, 11 Jun- Turkiye akan mengeluarkan dan mengeksport 48 jet pejuang, dinamakan KAAN, ke Indonesia di bawah satu perjanjian pertahanan baharu, umum Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Rabu.

Menurut Anadolu Ajansi (AA) dalam satu hantaran di platform X, Erdogan memuji penyumbang kepada projek KAAN, khususnya Sekretariat Industri Pertahanan (SSB) dan Industri Aeroangkasa Turkiye (TAI), susulan pemeteraian perjanjian eksport yang mencatat rekod.

Beliau berkata keupayaan tempatan Indonesia akan turut digunakan dalam penghasilan KAAN.

"Saya berharap perjanjian ini, yang menyerlahkan kemajuan dan pencapaian industri pertahanan domestik dan nasional kita, akan memberi manfaat kepada Turkiye dan Indonesia," kata Erdogan.

KAAN, jet pejuang generasi kelima oleh TAI melakukan penerbangan sulungnya tahun lepas pada kelajuan 230 knot dan altitud 8,000 kaki.

Turkiye kini tersenarai antara negara yang memiliki teknologi canggih ini.- BERNAMA-ANADOLU

ROSLINA BINTI DIN