SAGAING, 11 Jun- Sebuah jet tentera Myanmar terhempas pada Selasa di wilayah Sagaing, di tengah Myanmar yang bergolak dengan konflik bersenjata.
Rakaman video saksi kejadian, menunjukkan beberapa rumah terbakar di sebuah kampung, dengan serpihan bertaburan di jalan, termasuk satu objek seperti tayar pesawat terbakar.
Kumpulan pemberontak yang menguasai kawasan tersebut mendakwa mereka berjaya menembak jatuh pesawat itu. Bagaimanapun, Reuters melaporkan bahawa mereka tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.
Sementara itu, saluran televisyen milik tentera, Myawaddy TV (MWD), mendakwa pesawat itu terhempas akibat kegagalan enjin, tanpa mengemukakan sebarang bukti atau rekod untuk menyokong kenyataan itu.
Reuters dapat mengesahkan lokasi rakaman video itu adalah di wilayah Sagaing melalui padanan susun atur jalan, bangunan, dan pokok-pokok yang sepadan dengan imej satelit kawasan itu. Bagaimanapun, tarikh sebenar rakaman tidak dapat disahkan. Laporan dari stesen televisyen kerajaan Myanmar mengesahkan satu insiden melibatkan pesawat tentera berlaku pada 10 Jun.
Myanmar terus bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan pimpinan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi.Ia mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara yang kemudiannya menjadi perang saudara. -REUTERS