fb fb fb fb fb

Gempa bumi kuat gegarkan Taiwan

Foto Jabatan Meteorologi Malaysia

TAIPEI, 11 Jun- Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud menggegarkan Taiwan pada Rabu.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) gempa itu berlaku pada kedalaman 31 kilometer, dengan pusat gempa terletak di luar pesisir timur, kira-kira 71 kilometer di selatan Bandar Hualien.

Insiden tersebut turut mengakibatkan bangunan di ibu kota Taipei bergoyang.

Menurut Jabatan Bomba Taitung, tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

“Ketika gempa berlaku, skrin komputer dan kipas bergoyang dengan kuat,” kata seorang anggota bomba di bandar pesisir Chenggong kepada AFP. “Ia jauh lebih kuat daripada gempa-gempa sebelum ini. "Saya terus terfikir untuk lari keluar", katanya.

Taiwan sering mengalami gempa bumi kerana lokasinya yang terletak di pinggir dua plat tektonik utama, berhampiran Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan yang dikenal pasti oleh USGS sebagai zon paling aktif secara seismik di dunia.

Gempa bumi kuat melanda negara itu pada April 2024, berukuran 7.4 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, serta mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan banyak kerosakan di sekitar Hualien. Ia disifatkan sebagai gempa paling kuat yang melanda Taiwan dalam tempoh 25 tahun. -AFP

ROSLINA BINTI DIN