SEOUL, 11 Jun- Tentera Korea Selatan pada Rabu mengumumkan bahawa mereka telah menghentikan siaran propaganda melalui pembesar suara di sempadan yang menyasarkan Korea Utara, hampir setahun selepas kempen tersebut dimulakan semula ketika ketegangan antara kedua-dua negara memuncak.
Langkah ini menepati janji Presiden baharu, Lee Jae-myung, yang memulakan tugasnya bulan ini.
Beliau berikrar untuk meneruskan semula dialog dengan Korea Utara, menghentikan siaran propaganda serta meneruskan kembali perjanjian ketenteraan yang sebelum ini digantung dengan Pyongyang.
Dalam satu kenyataan rasmi, jurucakap Kementerian Pertahanan berkata tindakan ini bertujuan untuk “menunaikan janji kepada rakyat bagi memulihkan kepercayaan dalam hubungan antara Korea serta mencapai keamanan di Semenanjung Korea.”
Seoul menyambung semula kempen siaran pembesar suara pada Julai lalu adalah sebagai tindak balas kepada pelancaran belon Pyongyang yang membawa sampah ke sempadan, kata tentera Korea Selatan.-REUTERS