DAMSYIK, 23 Januari-Penerbangan Turkish Airlines buat pertama kalinya mendarat di ibu kota Syria itu selepas 13 tahun, menurut laporan wartawan AFP.
Pesawat tersebut tiba dari Istanbul membawa bantuan dan 345 penumpang, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Airlines, Bilal Eksi, serta pegawai Turkiye, kata wartawan AFP.
"Pesawat penumpang Turkish Airlines yang pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik selepas kira-kira 13 tahun, dengan penumpang warga Syria di atas kapal," lapor agensi berita rasmi Syria, SANA.
Turkiye, yang menyokong penentang kerajaan yang diterajui oleh kumpulan Islamis yang menumbangkan pemerintah Bashar al-Assad bulan lalu, mengumumkan pada 15 Januari bahawa mereka akan menyambung semula penerbangan komersial ke Damsyik.
Qatar Airways menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang mengumumkan perkhidmatan ke Damsyik, yang bermula pada 7 Januari.
Penerbangan Syrian Airlines ke Sharjah, Emiriah Arab Bersatu pada hari yang sama menjadi penerbangan komersial antarabangsa pertama dari lapangan terbang itu sejak kejatuhan Assad pada 8 Disember.
Pesawat bantuan dan delegasi diplomatik asing telah pun mendarat di Syria, sementara penerbangan domestik juga telah disambung semula.
Penerbangan dari Damsyik ke bandar kedua, Aleppo, pada 18 Disember merupakan yang pertama.
Minggu lalu, Turkish Airlines dilaporkan merancang untuk menyambung semula penerbangannya ke Damsyik selepas dihentikan lebih daripada sedekad.
CEO syarikat penerbangan kebangsaan Turkiye, Bilal Eksi, berkata akan ada tiga penerbangan seminggu bermula 23 Januari.
“Kami kembali ke Damsyik,” kata Eksi dalam satu hantaran di X.-AFP.