STOCKHOLM, 23 Januari-Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) mengkritik Sweden dan Finland yang didakwa tidak melakukan usaha yang cukup untuk melindungi hutan primer dan tua di negara masing-masing.
Kritikan itu sekali gus menunjukkan kedua-dua Negara Eropah berkenaan gagal memenuhi komitmen Kesatuan Eropah (EU), menurut laporan pertubuhan itu pada Khamis.
"Beribu-ribu hektar hutan yang mempunyai nilai pemuliharaan tinggi ditebang setiap tahun, walaupun pentingnya hutan tersebut untuk kestabilan iklim, biodiversiti, dan kesihatan ekologi jangka panjang," maklum WWF dalam laporan tersebut.
Dua negara Nordik itu dilaporkan "mengambil kesempatan daripada kelemahan undang-undang untuk membolehkan penebangan hutan di kawasan yang sepatutnya dilindungi," tambah organisasi itu dalam satu kenyataan.
Menurut Undang-Undang Pemulihan Alam EU, yang berkuat kuasa pada Ogos tahun lepas menyatakan 20 peratus kawasan semula jadi termasuk hutan dan paya mesti dipulihkan kepada keadaan asalnya seperti pada tahun 1950 menjelang 2030.
Ini merangkumi semua jenis hutan, sama ada hutan semula jadi atau yang ditanam untuk tujuan perhutanan dan bukan hanya kawasan yang dilindungi.
"Kerajaan semasa menunjukkan keazaman rendah untuk melindungi hutan primer dan tua di tanah persendirian," kata WWF.
"Akibatnya, Sweden terus kehilangan hutan primer dan lama kerana aktiviti penebangan," tambah kumpulan alam sekitar itu.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar Bandar Sweden, Peter Kullgren, menolak kritikan tersebut.
"Sweden adalah pemimpin dalam perlindungan hutan," katanya dalam satu kenyataan bertulis kepada AFP.
"Lebih 25 peratus hutan di Sweden telah dikeluarkan daripada pengeluaran, dan lebih 10 peratus telah dilindungi sepenuhnya.
"Ini menjadikan Sweden salah satu negara EU yang paling hampir mencapai sasaran biodiversiti untuk 2030," tambahnya.
Di Sweden, industri perhutanan menyumbang kira-kira 140,000 pekerjaan, menurut Persekutuan Industri Perhutanan Sweden, yang mewakili syarikat dalam industri pulpa, kertas, dan pemprosesan kayu.-AFP.