fb fb fb fb fb

Turkiye kecam serangan di Masjid Al-Aqsa

(Pasukan keselamatan Israel mengheret keluar jemaah Islam Palestin yang
duduk di perkarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, awal 5 April 2023 / AFP)

ANKARA, 6 April- Turkiye pada Rabu mengecam serangan oleh polis Israel di dalam masjid Al-Aqsa Israel, dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Israel telah melampaui batasan.

"Turkiye tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi serangan ini. ‘Memijak’ masjid Al-Aqsa adalah garis merah kami," kata Erdogan dalam satu majlis berbuka puasa.

“Rakyat Palestin tidak bersendirian,” tambahnya.

Polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin di dalam tapak suci Baitulmaqdis pada Rabu, mencetuskan pelancaran roket dan serangan udara, dalam keganasan yang berlaku ketika sambutan Paskah Yahudi bertindih dengan Ramadan.

Reaksi Erdogan susulan kritikan awal yang dibuat oleh Menteri Luarnya Mevlut Cavusoglu.

"Kami mengutuk serangan ini," kata Cavusoglu pada perhimpunan NATO di Brussels.

"Normalisasi dengan Israel telah bermula, tetapi komitmen kami tidak boleh mengorbankan perjuangan Palestin dan prinsip kami," tambahnya, sambil menyatakan, “serangan ini telah melebihi had".

Masjid Al-Aqsa, yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount, adalah tapak suci bagi kedua-dua agama Islam dan Yahudi di Kota Lama Baitulmaqdis.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu