fb fb fb fb fb

Tuntut keadilan iklim, puluhan ribu sertai ‘Great People’s March’ di Brazil

Foto AFP

BELEM, 15 November - Puluhan ribu peserta memenuhi jalanan Bandar Belém, tuan rumah COP30, pada Sabtu dalam protes iklim terbesar pernah diadakan di sidang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sejak beberapa tahun lalu.

Perarakan yang digelar “Great People’s March” itu berlangsung ketika rundingan minggu pertama COP30 buntu, dengan aktivis dan komuniti Orang Asli mengetuai demonstrasi bagi menekan negara-negara supaya memenuhi komitmen iklim.

Peserta membawa replika bola dunia gergasi, mengadakan perarakan ‘pengebumian’ bahan api fosil dengan tiga keranda bertanda arang batu, minyak dan gas, serta menuntut tindakan tegas terhadap kemusnahan hutan Amazon.

Aktivis Orang Asli, Txai Surui, berkata mereka berkumpul untuk “mengelak kemunduran” dalam rundingan iklim dan menuntut hasil yang jelas.

Protes itu menjadi mobilisasi besar pertama di luar sidang iklim sejak COP26 di Glasgow, selepas tiga edisi lalu berlangsung di lokasi yang tidak membenarkan demonstrasi terbuka.

Sepanjang demonstrasi sejauh 4.5km itu, peserta turut menuntut ‘ganti rugi’ terhadap kerosakan akibat aktiviti korporat dan kerajaan, selain mengangkat isu keadilan sosial serta hak komuniti terpinggir.

Perhimpunan berakhir secara aman beberapa blok dari tapak sidang, yang dikawal ketat pihak berkuasa.

Di dalam sidang, Presiden COP30, André Corrêa do Lago mengakui rundingan minggu pertama masih gagal mencapai kemajuan ketara, termasuk isu pembiayaan iklim dan usaha global mengurangkan penggunaan bahan api fosil.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH