fb fb fb fb fb

Tunjuk perasaan tuntut keadilan, tamatkan keganasan wanita di India meningkat

Foto AFP

KOLKATA, 15 Ogos- Ribuan penduduk membanjiri jalan raya di Kolkata menyertai tunjuk perasaan untuk mengutuk perbuatan memperkosa dan membunuh seorang doktor pelatih wanita, dalam usaha menuntut keadilan dan menamatkan isu keganasan terhadap wanita dalam masyarakat di negara itu.

Penemuan mayat wanita berusia 31 tahun itu, yang dibunuh dengan kejam minggu lalu di sebuah hospital yang dikendalikan pemerintah, mencetuskan kemarahan yang meluas.

Perdana Menteri Narendra Modi menuntut agar hukuman disegerakan terhadap individu yang melakukan perbuatan kejam kepada kaum wanita.

Orang ramai berarak melalui jalan Kolkata di Bengal Barat untuk mengutuk pembunuhan itu, disertai perhimpunan menyalakan lilin pada tengah malam bertepatan dengan permulaan sambutan hari kemerdekaan India pada Khamis.

Penunjuk perasaan di Kolkata menggesa agar langkah menangani keganasan terhadap kaum wanita dipertingkat.

Sementara itu, Modi ketika berucap di New Delhi pada Khamis pada sambutan hari kemerdekaan negara itu, tidak merujuk secara khususnya kepada kes pembunuhan Kolkata tersebut, namun menyuarakan keperitannya terhadap insiden keganasan terhadap kaum wanita.

"Terdapat kemarahan kerana kekejaman yang dilakukan terhadap ibu dan saudara perempuan kita, terdapat kemarahan dalam negara mengenai perkara itu," katanya.

"Jenayah terhadap wanita harus disiasat dengan cepat, tingkah laku yang mengerikan terhadap wanita harus dihukum berat dan cepat," tambahnya.

"Itu penting untuk mewujudkan pencegahan dan keyakinan dalam masyarakat", katanya.- AFP

ROSLINA BINTI DIN