fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

Tunisia tolak sokongan kewangan daripada EU, tidak menepati perjanjian

TUNIS, 3 Oktober- Presiden Tunisia, Kais Saied menolak sokongan kewangan yang diumumkan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada September dengan, mengatakan jumlah itu adalah kecil dan bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani Julai lalu.

Tindakan Saied boleh menjejaskan perkongsian strategik termasuk langkah memerangi penyeludupan manusia dan mengetatkan kawalan sempadan, ketika peningkatan mendadak bilangan bot menuju ke Eropah melalui negara Afrika Utara.

Suruhanjaya Eropah bulan lalu berkata ia akan mengeluarkan 127 juta euro sebagai bantuan kepada Tunisia sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk memerangi pendatang haram dari Afrika ke Eropah.

“Tunisia menolak apa yang diumumkan EU. Bukan kerana jumlah yang kecil tetapi kerana cadangan itu bercanggah dengan memorandum persefahaman yang ditandatangani pada Julai,” kata Saied.

Perjanjian Julai itu termasuk ikrar 1 bilion euro sebagai bantuan kepada Tunisia untuk membantu ekonominya yang terjejas, menyelamatkan kewangan negara dan menangani krisis penghijrahan.

Jumlah yang lebih kecil yang diumumkan oleh Eropah 10 hari lalu, bagaimanapun, telah mengecewakan pihak berkuasa Tunisia yang bergelut untuk memperbaiki kewangan awam dan menimbulkan kebimbangan di kalangan agensi penarafan kredit bahawa kerajaan boleh gagal membayar hutang asing dalam beberapa bulan akan datang.

Pertikaian antara kedua-dua pihak itu bertepatan dengan rekod ketibaan bilangan pendatang dari Tunisia dan Afrika Utara ke pulau Lampedusa di Itali.

Tunisia minggu lalu menangguhkan lawatan delegasi Suruhanjaya Eropah untuk membincangkan butiran perjanjian migrasi.

Pada September, ia juga menafikan kemasukan lima ahli jawatankuasa hal ehwal luar Parlimen Eropah untuk mesyuarat berhubung situasi politik di Tunisia, dengan mengatakan ia tidak akan membenarkan campur tangan dalam hal ehwalnya.

Beberapa negara Eropah termasuk Jerman menentang perjanjian imigresen, berkata ia tidak menyelesaikan isu hak asasi manusia dan situasi politik selepas Saied merampas kuasa, menutup parlimen Tunisia dan mula memerintah melalui dekri.- REUTERS