fb fb fb fb fb

Tunisia buka semula muzium yang ditutup akibat rampasan kuasa

(FOTO AFP)

TUNIS, 6 September - Tunisia akan membuka semula Muzium Negara Bardo tidak lama lagi, kata Kementerian Kebudayaan pada Selasa, dua tahun selepas Presiden Kais Saied menutup parlimen yang berkongsi bangunan sama.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan tarikh pembukaan semula Bardo yang terletak dalam istana bersejarah dan menempatkan salah satu koleksi mozek Rom purba paling indah di dunia.

(FOTO AFP)

Saied menghantar kereta kebal untuk mengelilingi bangunan parlimen pada 25 Julai 2021 ketika dia telah berjaya merampas kebanyakan kuasa (pentadbiran) dalam tindakan yang disifatkan pengkritik sebagai rampasan kuasa.

Ketika itu Saied telah menutup kedua-dua bangunan tersebut dan mengadakan pilihan raya badan perundangan baharu yang kurang berpengaruh.

Parlimen baharu mula beroperasi tahun ini tetapi tidak ada maklumat terperinci mengenai pembukaan semula muzium kebangsaan itu yang menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi terutamanya dalam industri pelancongan negara.

Selepas revolusi Tunisia pada 2011, Parlimen dikemudi bawah sistem demokrasi baharu sebagai badan paling berkuasa dan dewan perundangannya menjadi ruang kepada perdebatan politik paling terbuka di seluruh negara Arab.

Bagaimanapun, ramai rakyat Tunisia menyalahkan parlimen dan parti-parti politik utama kerana selama bertahun-tahun, Tunisia mengalami kemerosotan ekonomi dan kelumpuhan kerajaan kerana kerajaan campuran gagal membawa kemakmuran.-REUTERS

Media Baharu