fb fb fb fb fb

Tular 'live' tentera Israel kasari lelaki Palestin

Rakaman 'live' TikTok keganasan tentera Israel/Reuters

HEBRON, 17 November- Kekejaman tentera Israel menahan dan memukul seorang penduduk Palestin tular di media sosial selepas 'aksi' itu disiarkan secara langsung menerusi TikTok pada Isnin lalu.

Mangsa, Eyad Banat berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen bersama keluarga dan tiba-tiba beberapa tentera zionis bertopeng serta bersenjata menyerbu masuk ke dalam rumahnya di sini.

Tindakan ganas tentera itu berjaya dirakam oleh salah seorang ahli keluarganya.

"Saya sentiasa membuat 'live' di TikTok dan saya mempunyai 'page' untuk menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak yang tinggal di pekarangan Hospital Shuhada Al-Aqsa di Gaza. 

"Kami memindahkan wang kepada mangsa melalui TikTok. Kami hantar hadiah kepada kanak-kanak, selain susu, yogurt, tilam dan selimut," katanya.

Dalam pada itu, anak perempuannya, Sandi yang menjadi saksi kejadian berkata, serangan berlaku ketika mereka sekeluarga sedang menonton berita.

1711 BD ISRAEL TULAR TIKTOK
Eyad Banat dan anak perempuannya, Sandi/Reuters

"Kami sedang duduk menonton berita dan kami mendengar bunyi bising di pintu. Ayah buka pintu dan mereka merempuh masuk seperti yang selalu mereka lakukan.

"Tentera menyerbu masuk, menolak ayah dan memukulnya. Mereka terus memukul ayah dan bertanya namanya. Walaupun selepas menjawab mereka terus memukulnya," ujar kanak-kanak itu.

Susulan tularnya video terbabit, tentera Israel mengeluarkan kenyataan pada Selalu lalu dengan mengatakan siasatan awal mendapati tentera berkenaan melakukan "jumlah kekerasan tidak munasabah" dan tindakan disiplin akan diambil oleh komander tentera.

Dalam kejadian itu, Banat ditahan namun dibebaskan selepas beberapa jam, manakala enam daripada lapan pekerja yang menumpang di bangunan pangsapurinya ditahan zionis.

Tegas Banat, lapan pekerja itu adalah penduduk Gaza yang tidak dapat pulang ke wilayah berkenaan, sejak awal perang pada 7 Oktober lalu. -Reuters

SITI AISHAH BINTI MD ISA