fb fb fb fb fb

Tujuh terkorban, pesawat kecil terhempas di selatan Chile

Pemandangan di kawasan Coyhaique, Chile

SANTIAGO, 10 Ogos- Tujuh orang maut pada Jumaat apabila pesawat kecil yang mereka naiki terhempas di selatan Chile, menurut pihak berkuasa penerbangan awam negara itu.

Hubungan dengan pesawat Piper Navajo tersebut terputus pada pukul 9.13 pagi, sejurus selepas ia berlepas dari Coyhaique, kira-kira 1,700 kilometer di selatan Santiago.

"Juruterbang dan enam penumpangnya maut", kata Direktorat Jeneral Aeronautik Awam (DGAC) dalam satu kenyataan, tanpa menyatakan punca kemalangan tersebut.

Delegasi presiden untuk wilayah tersebut, Rodrigo Araya, memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengarahkan pejabat pendakwa dan Perkhidmatan Perubatan Forensik untuk melancarkan siasatan ke atas insiden tersebut.

Tidak jelas bila mayat mangsa akan dapat dikeluarkan, disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan pergunungan itu.

"Cuaca buruk diramalkan akan datang, dengan salji," kata Jeneral Tentera Mario Sepulveda, sambil menambah bahawa ia "mungkin mengambil masa beberapa hari, mungkin tiga hari."

Kemalangan tersebut berlaku pada hari yang sama sebuah pesawat penumpang di Brazil terhempas membunuh kesemua 61 penumpang di dalamnya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE