fb fb fb fb fb

Tujuh maut selepas ribut 'ganas' melanda Perancis, Switzerland dan Itali

FOTO AFP

GENEVA, 1 Julai- Ribut 'ganas' dan hujan lebat yang melanda Perancis dan Itali hujung minggu ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban.

Tiga daripadanya maut selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh di wilayah Ticino, tenggara Switzerland, manakala seorang meninggal dunia di sebuah hotel di Saas-Grund, wilayah Valais.

"Mangsa (di hotel) mungkin maut akibat terkejut dengan peningkatan mendadak air banjir. Seorang lagi lelaki juga hilang di Valais," kata polis.

Di Perancis, tiga individu berusia 70-an dan 80-an maut di timur laut wilayah Aube apabila pokok tumbang menghempap ​​kereta yang dinaiki mereka pada Sabtu lepas.

Penumpang keempat berada dalam penjagaan kritikal, menurut pihak berkuasa tempatan.

Sementara di Itali, kawasan Piedmont dan Lembah Aosta turut dilanda banjir dan tanah runtuh. Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.

Kejohanan bola sepak Eropah 2024 (EURO 2024) pada Sabtu lalu juga terpaksa ditangguhkan selama setengah jam ketika aksi antara pasukan Jerman dan Denmark sedang berlangsung selepas hujan lebat disertai hujan batu, petir dan angin kencang melanda Stadium Westfalenstadion di Dortmund, Jerman. -AFP

SITI AISHAH MD ISA