fb fb fb fb fb

Tujuh maut, 12 cedera kebakaran hotel di Korea Selatan

Kebakaran bermula di tingkat lapan hotel sembilan tingkat di Bucheon, di sebelah barat ibu kota Seoul kira-kira pada pukul 7.40 malam pada Khamis/ Foto: X

SEOUL, 23 Ogos- Kebakaran di sebuah hotel di Korea Selatan telah membunuh tujuh orang dan mencederakan 12 yang lain, kata pihak berkuasa bomba pada Jumaat.

Kebakaran bermula di tingkat lapan hotel sembilan tingkat di Bucheon, di sebelah barat ibu kota Seoul kira-kira pada pukul 7.40 malam pada Khamis dan api dapat dipadamkan dalam masa kira-kira dua jam.

Seorang pegawai di balai bomba Bucheon, Lee Sang-don berkata tujuh orang maut kebanyakannya adalah tetamu, dan 12 yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan, dengan tiga daripadanya dalam keadaan kritikal.

"Antara yang terbunuh ialah sepasang suami isteri yang melompat keluar tingkap ke atas tilam angin yang dipasang di hadapan bangunan itu. Ia dibuka seperti biasa tetapi kelihatan terbalik apabila mereka melompat ke bawah.

"Pihak berkuasa sedang meneliti punca sebenar kejadian itu," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min mengarahkan usaha menyelamat habis-habisan dengan menggerakkan semua sumber yang ada, menurut kementerian itu.

Kira-kira 70 kenderaan dan 160 anggota bomba telah dihantar ke tempat kejadian, kata agensi berita Yonhap, memetik pihak berkuasa bomba wilayah.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI