CALIFORNIA, 3 Julai – Tujuh individu dilapor hilang susulan letupan dahsyat di sebuah gudang mercun di Esparto, utara California.
Insiden itu turut menyebabkan dua mangsa cedera selain letupan mencetuskan kebakaran besar.
Menurut Jabatan Bomba California, pasukan penyelamat kini sedang bekerjasama rapat dengan pemilik premis bagi mengenal pasti lokasi individu yang masih belum ditemui.
Dua mangsa yang cedera berjaya diselamatkan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Namun, operasi menyelamat berdepan cabaran besar apabila pasukan bomba masih belum dapat memasuki gudang yang terbakar kerana terdapat risiko letupan susulan terdapat mercun yang masih tersimpan di dalamnya.
Ketua Bomba Esparto, Curtis Lawrence memaklumkan, keadaan di lokasi kejadian amat berisiko dengan serpihan bahan letupan dilapor berselerak di kawasan yang luas.
"Perimeter keselamatan diperluaskan bagi melindungi anggota penyelamat dan orang awam daripada potensi bahaya," jelasnya dalam satu sidang media.
Punca letupan masih dalam siasatan, manakala usaha mencari dan menyelamat diteruskan dengan penuh berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko letupan susulan. - REUTERS