DENPASAR, 3 Julai – Sekurang-kurangnya empat terkorban manakala 38 lagi masih hilang selepas sebuah feri karam dalam perjalanan dari Jawa ke destinasi pelancongan popular, Bali, lewat malam Rabu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini, dalam misi menyelamat yang berdepan cabaran ombak setinggi 2.5 meter, arus deras dan angin kencang.
Feri KMP Tunu Pratama Jaya, yang membawa 65 individu termasuk 53 penumpang dan 12 kru dilaporkan karam kira-kira 25 minit selepas belayar berhampiran perairan Bali.
Feri itu turut membawa 22 kenderaan, termasuk 14 trak.
Ketua Polis Banyuwangi, Rama Samtama Putra mengesahkan angka korban dan mangsa yang diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Surabaya, Nanang Sigit berkata, operasi menyelamat tergendala pada peringkat awal kerana cuaca buruk.
"Empat daripada mangsa terselamat dilaporkan sempat menaiki bot penyelamat sebelum ditemui awal pagi Khamis.
"Sekurang-kurangnya 54 anggota penyelamat termasuk dari polis dan tentera laut kini terlibat dalam misi pencarian yang masih diteruskan," katanya.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang sedang dalam lawatan ke Arab Saudi, telah mengarahkan respons kecemasan segera bagi tragedi ini.
Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya memaklumkan cuaca buruk dikenal pasti sebagai punca utama insiden.- REUTERS