fb fb fb fb fb

Phumtham diangkat Pemangku Perdana Menteri Thailand

Seramai 14 menteri baharu Thailand mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn hari ini./REUTERS

BANGKOK, 3 Julai – Seramai 14 menteri baharu Thailand mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn hari ini.

Majlis turut melibatkan Paetongtarn Shinawatra yang kini digantung tugas sebagai Perdana Menteri tetapi diberikan peranan baharu sebagai Menteri Kebudayaan.

Paetongtarn digantung daripada menjalankan tugasnya 1 Julai lalu selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand menerima petisyen daripada 36 senator.

Petisyen berkenaan menuduh Paetongtarn tidak beretika dan tidak jujur susulan pendedahan rakaman perbualan telefon antara beliau dengan bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai diumumkan sebagai pemangku Perdana Menteri menerusi satu kenyataan rasmi kerajaan hari ini.

Phumtham, 71, yang juga bekas Menteri Pertahanan, turut dilantik mengisi jawatan Menteri Dalam Negeri.

Pelantikan terbaharu ini meredakan kehangatan pergolakan politik Thailand yang menambah tekanan terhadap kerajaan gabungan pimpinan Pheu Thai. - REUTERS

KHAIRUL AMRI BIN YASIN