ISLAMABAD, 16 Ogos - Mahkamah tinggi Pakistan minggu depan akan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Imran Khan untuk membatalkan hukuman penjara tiga tahun di atas kesalahan rasuah, kata peguamnya pada Rabu.
Imran Khan dipenjarakan bulan ini selepas disabitkan kesalahan rasuah dan kemudian dihalang terlibat dalam politik selama lima tahun sekali gus menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun ini.
Bekas bintang kriket itu menafikan pertuduhan tersebut dan berkata ia adalah usaha bermotifkan politik oleh para pesaingnya untuk menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya.
"Permohonan kami berhubung pembatalan sabitan terhadap Imran Khan telah ditetapkan pada 22 Ogos," kata peguam Khan, Naeem Panjutha dalam satu catatan di platform media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Panjutha berharap agar Mahkamah Tinggi Islamabad akan menerima rayuan tersebut dan memberikan jaminan kepada Imran Khan.
Sebelum ini, Imran disabitkan atas tuduhan menjual hadiah negara secara tidak sah yang diperolehinya semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri bagi tempoh 2018–2022.
Dia telah menuduh pihak tentera cuba melemahkan karier politiknya namun pihak Tentera menafikan dakwaan tersebut.
Pasukan Peguam Imran berkata keadaan di penjara berhampiran Islamabad tempat dia ditahan tidak sesuai memandangkan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri.
Pihak berkuasa berkata Khan mempunyai hak untuk bersuara di Mahkamah bagi mendapatkan jaminan yang lebih baik.-REUTERS