(Foto AFP)
YANGON, 16 Ogos- Angka kematian akibat tanah runtuh di sebuah lombong jed, di utara Myanmar, mencecah 31 orang dengan lapan dilapor masih hilang.
Seorang anggota penyelamat yang enggan dikenali memberitahu, enam lagi mayat ditemukan pagi tadi.
"Lapan orang masih tidak dapat dikesan dan operasi pencarian diteruskan.
"Anggota penyelamat menggali lumpur tebal untuk mencari mayat, malah ada yang ditemukan terapung di dalam air," katanya kepada AFP.
Bencana pada Ahad itu berlaku selepas hujan lebat dan banjir melanda wilayah berkenaan.
Perlombongan jed di Myanmar sememangnya menguntungkan kerana permintaan tinggi dari negara jiran China, tetapi industri yang tidak terkawal dibelenggu dengan kekerapan kematian pekerja.
Myanmar yang merupakan sumber jed terbesar di dunia telah mengakibatkan hampir 300 orang kehilangan nyawa pada 2020 dalam tragedi tanah runtuh di lombong Hpakant.-AFP
(Foto AFP)