fb fb fb fb fb

TUDM jalankan siasatan dalaman kes buli pelatih

(Datuk Seri Mohamad Hasan berkata siasatan dijalankan berdasarkan laporan
polis yang dibuat bapa mangsa susulan kejadian yang menimpa anaknya)

KUALA LUMPUR, 2 Mei- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan seorang pelatih dibuli di pusat latihan di Kuantan, Pahang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata siasatan dijalankan berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa mangsa susulan kejadian yang menimpa anaknya.

"Pihak polis telah datang menyiasat di kawasan Pusat Latihan TUDM di Kuantan. Pegawai penyiasat juga telah jalankan siasatan, menyoal selidik dan siasatan masih diteruskan.

"Siasatan dalaman juga sedang dilaksanakan untuk kita pastikan kes disiasat secara teliti. Tindakan akan diambil terhadap mereka (yang terbabit) jika didapati bersalah dari segi tatatertib yang ada (dan melanggar) SOP setiap anggota yang duduk di dalam pusat latihan tersebut," kata Mohamad selepas Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Bersama Warga Kementerian Pertahanan di sini.

Hadir sama ke majlis tersebut ialah Timbalannya, Adly Zahari; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan duta-duta perwakilan asing.

Sebelum ini tular satu perkongsian di laman media sosial video seorang wanita yang mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara.

Mangsa didakwa didera secara fizikal dan emosi sehingga menyebabkannya mengalami trauma.

(Datuk Seri Mohamad berkata selepas Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Bersama
Warga Kementerian Pertahanan )

Media Baharu