fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 2 Mei- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini susulan tindakan pasaran melakukan pelarasan harga dengan pasaran berkaitan selepas berakhirnya cuti umum panjang, kata peniaga.

Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata kenaikan itu dijangka tidak bertahan lama berikutan perkembangan semasa membabitkan permintaan terhadap komoditi itu.

“Permintaan bagi minyak sawit sentiasa berdepan tekanan akibat penjualan lebih meluas yang dicatatkan oleh minyak campuran.

“Malah, sejak beberapa minggu lepas minyak bunga matahari, biji sesawi dan kacang soya turut merosot. Ini telah menjejaskan bekalan minyak sawit dan tumpuan kini terhadap premium membabitkan minyak campuran yang mengganggu permintaan ke destinasi baharu,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau juga menyifatkan permintaan terhadap minyak sawit dijejaskan oleh faktor jumlah stok simpanan di negara-negara destinasi utama.

Selain itu, jurunilai kargo Intertek Testing Services (ITS) menjangkakan eksport April berjumlah 1.18 juta tan, susut 18.19 peratus daripada 1.44 juta tan pada Mac.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak Mei 2023 naik RM79 kepada RM4,016 satu tan; Jun 2023 menokok RM71 kepada RM3,611 dan Julai 2023 meraih RM83 kepada RM3,421 satu tan.

Kontrak Ogos 2023 melonjak RM100 kepada RM3,385 satu tan; September 2023 menambah RM79 kepada RM3,374 dan Oktober 2023 meningkat RM65 kepada RM3,367.

Jumlah dagangan bagaimanapun merosot kepada 52,995 lot daripada 110,077 pada Jumaat manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 211,332 kontrak daripada 211,155 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan pula kekal tidak berubah pada RM4,150 satu tan. - BERNAMA


(Foto Hiasan)

Media Baharu