fb fb fb fb fb

Tubuh suruhanjaya siasatan berhubung keganasan seksual

Judith Godreche/Foto AFP

Paris, 2 Mei - Parlimen Perancis pada Khamis bersetuju wujudkan satu suruhanjaya siasatan untuk menyiasat keganasan seksual dalam dunia perfileman dan sektor kebudayaan lain selepas terdapat beberapa dakwaan baru-baru ini.

Perhimpunan Negara sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya selepas dituntut pelakon Judith Godreche.

Pelakon dan pengarah berusia 52 tahun itu telah menjadi tokoh penting dalam pergerakan MeToo Perancis sejak menuduh pengarah Benoit Jacquot dan Jacques Doillon melakukan serangan seksual terhadapnya ketika dia masih remaja.

Bagaimanapun kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut.

Kesemua 52 ahli parlimen yang hadir untuk mengundi meluluskan penubuhan suruhanjaya itu, disaksikan oleh Godreche.

"Sudah tiba masanya untuk berhenti meletakkan permaidani merah untuk pendera," kata ahli parlimen Greens Francesca Pasquini.

Suruhanjaya baharu itu adalah memantau 'keadaan kanak-kanak bawah umur dalam pelbagai sektor pawagam, televisyen, teater, fesyen dan pengiklanan', serta orang dewasa yang bekerja bawahnya, katanya.

Berdasarkan cadangan Godreche, sebuah suruhanjaya parlimen mengenai kebudayaan memutuskan untuk melanjutkan skop siasatan dan turut memasukkan sektor kebudayaan lain.

Undian parlimen dibuat sehari selepas pelakon Isild Le Besco, 41, berkata dalam autobiografi dia juga 'diperkosa' oleh Jacquot ketika dia berusia 16 tahun tetapi tidak bersedia untuk menguar-uarkannya.

Sebaliknya, Godreche telah memfailkan aduan undang-undang terhadap pengarah rumah seni terkemuka itu, berhubung dakwaan penderaan yang berlaku semasa hubungan yang bermula ketika dia berumur 14 tahun dan dia 25 tahun lebih tua daripadanya.

Dia juga secara rasmi menuduh Doillon menderanya sebagai pelakon berusia 15 tahun dalam filem yang diarahkannya. - AFP

TETITIA YUSOFF