RUSIA, 30 Julai - Tsunami susulan gempa bumi kuat berukuran magnitud 8.7 yang melanda pantai timur Rusia menyebabkan banjir di bandar Severo-Kurilsk yang menempatkan kira-kira 2,000 orang.
“Tsunami membanjiri bahagian bandar pelabuhan Severo-Kurilsk, penduduk telah dipindahkan,” kata Kementerian Kecemasan Rusia dalam satu kenyataan.
Sebuah video yang disiarkan di media sosial Rusia menunjukkan bangunan di bandar itu ditenggelami air laut.
Pusat gempa tersebut terletak berhampiran lokasi gempa bumi dahsyat magnitud 9.0 pada tahun 1952 yang pernah menyebabkan tsunami besar di seluruh rantau Pasifik.
Amaran tsunami juga telah dikeluarkan di beberapa bahagian di rantau Pasifik termasuk Jepun, Hawaii, Rusia, Ecuador serta pesisir pantai barat Amerika Syarikat. - AFP